Pertahanan skuad B-19 negara, Shivan Pillay Asokan, tidak pernah berasa selesa dengan kedudukannya dalam pasukan walaupun sering berada dalam kesebelasan utama untuk dia terus berusaha mencuri perhatian dalam aksi persahabatan di Qatar, Jumaat ini.

Skuad negara berlepas ke Qatar hari ini bagi aksi persahabatan menentang skuad bawah 19 tahun di sana yang merupakan salah satu persiapan pasukan menjelang Kejohanan AFC di Indonesia, dua minggu lagi.

Walaupun dilabel sebagai antara pemain utama pasukan, Shivan tidak pernah menganggap itu sebagai kelebihan dengan peluang tetap terbuka luas kepada pemain lain dalam berusaha menambat hati pengendali, Bojan Hodak, agar kekal ke saingan AFC.

Justeru, dia enggan mengambil mudah sebarang perlawanan sambil menyifatkan aksi persahabatan Jumaat ini ibarat saingan sebenar dengan kemenangan tetap menjadi keutamaan.

"Dalam pasukan, kami sentiasa bersaing untuk posisi. Tekanan sering dirasakan dan ia tidak mudah. Kami harus berusaha untuk mendapatkan tempat.

"Saya ingin mempamerkan aksi terbaik di Qatar dan mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol," katanya.

Pemain berusia 18 tahun itu, yang pernah meledak tiga gol di pentas Kejohanan AFF, Julai lalu, turut mengidam untuk menjaringkan sekurang-kurangnya tiga lagi gol tambahan di pentas Kejohanan AFC untuk disimpan sebagai rekod peribadinya bagi tahun 2018.

"Saya sentiasa tidak berpuas hati dengan prestasi dan mahu terus meningkatkan kualiti permainan.

"Saya akan bekerja lebih keras."