Selepas berjaya membantu Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 di Indonesia pada Oktober tahun depan, barisan pemain muda negara kembali fokus dengan tugasan bersama kelab masing-masing untuk persiapan musim baru Liga Malaysia.

Shivan Pillay Asokan, yang beraksi selaku pemain pertahanan bersama skuad belia PKNS, melahirkan hasratnya untuk mencabar tempat dalam skuad utama The Red Ants bagi musim depan.

Untuk rekod, dia pernah diberikan peluang beraksi ketika PKNS tewas 2-5 kepada Felda United dalam perlawanan Piala Malaysia di Jengka, 1 Ogos lalu.

"Sekarang saya masih bercuti dan akan kembali bersama PKNS pada bulan depan untuk persiapan bagi tahun depan.

"Bagi saya, saya memiliki kualiti untuk bersaing dalam Liga Malaysia," katanya.

Sementara itu, penyerang muda, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, yang beraksi bersama Johor Darul Ta'zim II (JDTII) menepis dakwaan akan berhijrah ke pasukan baru.

Katanya, musim 2018 akan dijadikan medan kebangkitan untuk meledak lebih banyak gol memandangkan JDT II dikhabarkan menetapkan polisi baru, iaitu tidak akan mengambil sebarang pemain import bagi posisi penyerang.

"Saya akan mempersiapkan diri bagi menghadapi musim depan. Saya akan cuba mendapatkan lebih banyak masa bermain dan beraksi dalam pasukan utama," katanya.