Penyerang Liverpool, Xherdan Shaqiri, menegaskan dia mampu menghadapi perlawanan di Serbia untuk aksi Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Red Star Belgrade.

Pemain kebangsaan Switzerland itu didenda ketika saingan Piala Dunia selepas meraikan jaringan gol berdepan Serbia dengan melakukan tanda helang, simbol yang hampir sama dengan bendera Albania.

Shaqiri menyerlah ketika Liverpool mengatasi Red Star 4-0 di Anfield, kelmarin.

Bagaimanapun, suasana kurang senang menanti skuad bimbingan Jurgen Klopp itu dan Shaqiri dalam aksi yang akan berlangsung bulan depan tetapi pemain berusia 27 tahun itu sudah bersedia.

"Saya telah melaluinya ketika saingan Piala Dunia dan mampu menghadapinya," katanya.

"Saya akan pergi ke sana dan bermain bola sepak. Ia bukan mengenai politik, hanya bola sepak."

Liverpool mendahului Kumpulan C menjelang aksi di Belgrade itu pada 6 November ini.