Kapten dan tonggak pertahanan skuad Felcra FC, Muhammad Shahrom Kalam, menyarankan agar pemain- pemain muda pasukannya mempamerkan perwatakan yang kuat apabila berdepan Felda United dalam aksi persahabatan di Jengka, esok.

Walaupun ia hanya melibatkan aksi persahabatan, Shahrom tetap menganggap ia perlawanan penting kerana pertemuan itu akan memberikan pendedahan terbaik buat pemain-pemain menangani lawan yang lebih berpengalaman biarpun diturunkan ke Liga Perdana, musim ini.

"Aksi ini perlu dipandang serius oleh pemain-pemain baru kerana ia adalah persiapan untuk menghadapi musim liga yang panjang dan kompetitif.

"Saya harap persefahaman di antara pemain tempatan dan import dapat diraih dengan lebih cepat untuk memudahkan segala proses persiapan pasukan," ujarnya.

Pendapat sama turut disuarakan oleh pengendali Felcra, Tarcisio Pugliesi, kerana baginya, menang atau kalah bukan ukuran untuk aksi berdepan Felda tetapi ia lebih terarah kepada bagaimana Felcra beraksi secara berpasukan di atas padang.

"Aksi menentang Felda pasti akan menjadi perlawanan yang sukar. Kemenangan atau kekalahan bukan objektif utama tetapi apa yang penting adalah menampilkan aksi permainan yang baik.

"Fokus sebenar adalah untuk menghadapi aksi liga yang sebenar," kata Pugliesi.