Penyerang negara, Shahrel Fikri Md Fauzi, terkilan apabila tidak dapat bersama Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan selepas mengalami kecederaan serius sehingga retak tulang fibula.

Dalam perlawanan Liga Super di antara Selangor FC dan Sri Pahang FC kelmarin, Shahrel Fikri terpaksa dikeluarkan dalam babak pertama selepas berdepan terjahan Muslim Ahmad.

Dia mengalami keretakan tulang fibula selain kecederaan pada bahagian dalaman pergelangan kami, iaitu medial malleolus atau ligamen deltoid.

Selepas menjalani pembedahan hari ini, pemain yang mesra disapa Eky itu akan menjalani proses pemulihan selama tiga atau empat bulan, namun tetap bersemangat untuk bangkit selepas kecederaannya pulih.

"Kaki saya sekarang masih rasa sakit lagi sebab baru lepas menjalani pembedahan semalam. Saya masih rasa lemah," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Selepas saya dapat dengar bunyi tulang saya patah ketika mendarat, dalam kepala saya hanya memikirkan tentang skuad kebangsaan sebab memang niat saya untuk mewakili Malaysia tetapi sebelum ini juga saya banyak terlepas (aksi) kerana kecederaan.

"Kali ini, saya terlepas lagi, jadi memang bukan rezeki saya.

"Saya mahu bermain dengan pasukan Selangor dan Malaysia tetapi perkara seperti ini bukanlah apa yang saya mahukan, jadi saya terpaksa melaluinya dengan kesedihan ini," katanya.