Sevilla menaruh harapan agar Samir Nasri sempat pulih untuk aksi perlawanan La Liga menentang juara bertahan, Barcelona, Ahad ini.

Pemain Perancis itu mengalami kecederaan hamstring sehingga terpaksa dikeluarkan pada waktu rehat dalam aksi seri 1-1 ketika menentang Sporting Gijon, minggu lalu.

Nasri dilaporkan hampir pasti tidak sempat cergas untuk kunjungan ke Barca minggu ini, namun Sevilla mendapat perkhabaran positif mengenai perkembangan kecederaan pemain itu.

"Berita positif pada hari ini adalah tentang Samir Nasri. Di sebalik kecederaan hamstring di kaki kirinya, kami belum mahu mengetepikan khidmatnya untuk terlibat dalam perlawanan Ahad ini menentang FC Barcelona," menurut kenyataan yang dikeluarkan kelab itu.

"Pemain berkenaan sedang menjalani latihan fizikal secara berseorangan dan khidmatnya akan ditentukan pada saat-saat akhir.

"Ia akan menentukan sama ada dia akan bermain atau tidak, memandangkan selepas Ahad nanti, liga akan berehat kerana perlawanan antarabangsa."