Sevilla akan cuba mendapatkan Andre Silva secara tetap daripada AC Milan selepas tampil cemerlang sejak dipinjamkan ke kelab Sepanyol itu, kata pengarah sukan pasukan, Joaquin Caparros.

Penyerang Portugal, Silva, menyinar ketika musim 2016/17 bersama FC Porto, menjaringkan 16 gol hasil 32 penampilan liga sehingga membuatkan Milan mendapatkan khidmatnya.

Namun, prestasi baik itu gagal diterjemahkan di Itali setelah hanya menyumbat dua gol Serie A dalam 24 perlawanan tetapi situasi itu membuatkannya dipinjamkan ke Sevilla yang sebelum itu terlepas kidmat rakan sepasukan Silva di Milan, Nikola Kalinic.

Silva dipinjamkan ke Sevilla, Ogos lalu, dan menjaringkan hatrik dalam penampilan pertama LaLiga dan Caparros yakin penggempur Portugal itu akan kekal di Ramon Sanchez Pizjuan selepas hujung musim ini.

"Peminat Sevilla perlu bertenang kerana dia adalah pemain yang kami dapatkan dengan baik," kata Caparros.

"Pemain itu akan kekal dengan kami selama beberapa musim. Kami mempunyai pilihan untuk mengekalkannya.

"Milan boleh katakan apa sahaja yang mereka mahu. Mereka atau kelab lain mungkin mahukan khidmatnya tetapi kami sedar di penghujung musim nanti atau sebelumnya, kami akan menggunakan pilihan untuk pembelian secara tetap."

Silva dilaporkan telah bersetuju dengan kontrak tetap selama empat tahun bersama Sevilla menerusi yuran perpindahan yang dianggarkan EUR35 juta (RM167 juta), sekali gus menjadi jumlah yang memecahkan rekod kelab selepas kehadiran Quincy Promes yang berharga EUR24 juta (RM114 juta) Ogos lalu.