Setuju gaji dipotong 70 peratus, Messi tempelak ahli lembaga pengarah Barcelona

Oleh Shaiful Shamsudin 31 Mac 2020 10129
Setuju gaji dipotong 70 peratus, Messi tempelak ahli lembaga pengarah Barcelona
Lionel Messi menempelak susuk penting di belakang tabir di Barcelona selepas mengesahkan bersetuju gajinya dipotong banyak dalam krisis penularan wabak koronavirus baru (Covid-19). 

Barisan pemain bersetuju untuk mengurangkan gaji sebanyak 70 peratus selain memberi sumbangan kewangan bagi memastikan semua kakitangan kelab itu mampu menikmati setidak-tidaknya separuh daripada upah mereka dalam situasi cemas di Sepanyol ketika ini.

Laporan itu menjadi hangat berikutan kata sepakat yang lemah di antara pemain senior dan ahli lembaga pengarah kelab tersebut berhubung perbezaan kaedah pemotongan gaji.

Ketua pasukan kelab dari Catalunta itu mengeluarkan satu kenyataan bagi pihak pemain -- tidak lama kemudian dikongsi oleh anggota pasukan skuad utama yang lain -- dengan menegaskan mereka sentiasa gembira untuk mengurangkan gaji mereka dalam usaha membantu kelab dan kakitangannya susulan masalah yang dihadapi di seluruh negara yang mendorong LaLiga digantung untuk satu tempoh yang belum diketahui tatkala Sepanyol cuba menyekat penyebaran Covid-19.

Mesej itu melabel ahli lembaga pengarah Barca telah bertanggungjawab meletakkan pemain di bawah pemerhatian yang tidak adil ketika rundingan mengenai pemotongan gaji masih berjalan.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Leo Messi (@leomessi) on


Kenyataan itu, yang dikongsi melalui Instagram, berkata: "Banyak yang telah ditulis dan diperkatakan mengenai pasukan utama Barcelona daripada segi gaji pemain dalam tempoh keadaan cemas ini.

"Terlebih dahulu, kami ingin menjelaskan bahawa kami sentiasa berniat untuk mengurangkan gaji kerana kami amat memahami situasi luar biasa ini dan kami adalah golongan pertama yang akan membantu kelab apabila kami diminta untuk berbuat demikian.

"Banyak kali kami melancarkan inisiatif sendiri apabila kami menganggapnya perlu atau penting.

"Adalah tidak mengejutkan kami bahawa di kelab ini, ada orang yang akan cuba meletakkan kami dalam perhatian dan cuba menambah tekanan ke atas sesuatu yang akan kami lakukan.

"Malah, perjanjian itu ditangguhkan selama beberapa hari hanya kerana kami sedang mencari formula untuk membantu kelab dan juga kakitangannya bagi mengharungi tempoh yang sukar ini.

"Kami juga ingin mengumumkan bahawa selain daripada pengurangan 70 peratus gaji, kami juga akan membuat sumbangan supaya pekerja kelab ini dapat menikmati 100 peratus gaji mereka dalam keadaan ini.

"Jika kami tidak bercakap mengenainya, itu bermakna kami sedang untuk mencari jalan penyelesaian yang tepat untuk membantu kelab ini dan mereka yang paling terjejas dalam situasi ini.

"Kami tidak mahu mengucapkan selamat tinggal tanpa menghantar ucapan yang sarat dengan kasih sayang yang boleh memberikan kekuatan kepada semua peminat yang dalam kesulitan ketika ini, begitu juga semua orang yang sabar menunggu di rumah mereka bagi menantikan krisis ini berakhir.

"Tidak lama lagi. Kita akan dapat mengharungi situasi ini dan kita semua akan melakukannya bersama-sama."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen