Pemain Barcelona, Frenkie de Jong, berkata taktikal pasukan tidak banyak berubah sejak Quique Setien mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih daripada Ernesto Valverde.

Valverde dipecat berikutan kekalahan 3-2 kepada Atletico Madrid dalam aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol, dengan Setien -- seorang penggemar pendekatan yang diketengahkan oleh Johan Cruyff (total football) -- dinamakan sebagai pengganti dengan kontrak selama dua setengah tahun.

Pengendali berusia 61 tahun itu kelihatan sudah menyesuaikan diri dengan cara permainan Barca, dengan The Catalans menikmati 82.4 peratus kawalan bola ketika merakamkan kemenangan dalam saingan LaLiga ke atas Granada dan 78 peratus dalam aksi Copa del Rey di Ibiza.

Barca sekadar menjaringkan tiga gol sepanjang dua perlawanan tersebut, mencadangkan mereka masih lagi mencari kelancaran dalam corak serangan -- sesuatu yang kerap kali menjadi bahan kritikan terhadap Valverde.

De Jong berkata Setien tidak banyak melakukan perubahan terhadap pendekatan pasukan, dengan pemain itu memberitahu, "Beliau tidak bertanyakan perkara yang kukuh kepada saya. Idea beliau hampir sama dengan Valverde, gaya permainan penguasaan bola yang kerap kali diterapkan Barcelona.

"Beliau hanya mengubah perkara-perkara kecil tetapi keutamaan adalah mengawal bola sepanjang permainan.

"Ia kelihatan mudah untuk menyesuaikan diri dan saya sangat gembira. Tetapi saya mengetahui banyak lagi mampu saya berikan kepada pasukan. Saya turut percaya penglibatan secara sepasukan dan kami mampu beraksi dengan lebih cemerlang selepas ini."

De Jong, yang menyertai Barca, Januari lalu tetapi tidak berpindah sehingga penghujung musim, membantu Ajax menjuarai gelaran Eredivisie dan melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain kebangsaan Belanda itu berharap dia mampu melangkah jauh dalam saingan UCL dan mungkin dapat menjadi sebahagian daripada pasukan yang memenangi 'treble'.

"Saya mahu menjuarai setiap gelaran. Jika saya perlu memilih, saya akan pilih UCL, namun saya tetap mahu menjulang LaLiga dan Copa del Rey," katanya.

"Tahun lalu, Barcelona-Ajax akan menjadi final yang terbaik. Saya berharap saya akan ke final tahun ini."




Editor: Ammar Hakim