Pengendali Barcelona, Quique Setien, berkata rancangan Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) untuk menyambung saingan LaLiga tidak akan berhasil susulan wabak coronavirus.

Tiada aksi bola sepak di Sepanyol sejak bulan lalu dalam usaha memerangi Covid-19 yang telah meragut lebih 19,000 nyawa di negara itu.

Tatkala perintah darurat dilakukan, Presiden LaLiga, Javier Tebas, minggu lalu mencadangkan agar saingan di Sepanyol disambung pada 29 Mei depan.

Berdasarkan perancangan yang didedahkan itu, pemain dan staf kejurulatihan akan dikuarantin di hotel atau pusat latihan untuk mengelakkan diri daripada wabak itu sambil ujian lebih kerap dijalankan sebelum perlawanan.

Namun, Setien -- yang mengetuai Barca mengatasi Real Madrid dengan kelebihan dua mata di puncak liga -- tidak yakin dengan perancangan itu.

"Semua orang mahu bersedia apabila saingan disambung tetapi ia tidak berlaku sehingga pihak kesihatan menjamin tiada lagi masalah," katanya.

"Saya telah melihat protokol dan hakikatnya, saya tidak tahu jika boleh dijalankan mengikut perancangan yang ditulis. Saya fikir ia sangat sukar."