Barcelona tidak akan mengambil risiko yang tidak diperlukan berhubung kecergasan Lionel Messi, menurut Quique Setien.

Barca tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan dalam usaha mempertahankan gelaran LaLiga selepas Luis Suarez bakal diketepikan sehingga Mei depan ekoran pembedahan lutut, sementara pemain sayap, Ousmane Dembele, akan terlepas sisa kempen musim ini setelah selesai menjalani pembedahan hamstring minggu ini.

Laporan awal bulan ini menunjukkan Messi beraksi dalam kesakitan tetapi Setien menegaskan dia tidak mempunyai kekhuatiran terhadap pemenang enam Ballon d'Or itu menjelang aksi getir dengan Getafe, malam ini.

"Messi, seperti ramai pemain yang lain, tahu apa yang boleh dilakukannya dan apa yang tidak," katanya dalam sidang akhbar malam tadi.

"Jika dia berada di atas padang, ia adalah kerana dia mampu beraksi. Dia tidak menghadapi masalah.




"Seperti pemain lain juga, dia memerlukan rehat. Saya belum dapat meluangkan masa untuk menilai perkara ini.

"Dalam tempoh beberapa tahun ini, pemain-pemain ini sudah terbiasa beraksi dari Ahad hingga Rabu dan dalam beberapa kes, mereka tidak perlu berehat. Tetapi kami akan menilainya."

Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) dan LaLiga menawarkan peluang khas buat Barcelona untuk menandatangani pengganti kepada Dembele yang menyaksikan penggempur Real Sociedad, Willian Jose, antara yang disebut-sebut sebagai sasaran.

Setien juga tidak menolak apabila dikaitkan dengan bekas anak buahnya di Real Betis, Loren Moron, tetapi pengurus Seville, Rubi, mendedahkan kesepakatan itu tidak mungkin akan terjadi.

"Sepanjang hidup, saya sering menyesuaikan diri dengan apa jua sumber yang ada," katanya. "Jika ada pemain baru yang tiba maka itu lebih baik.

"Kecederaan Dembele memberi kesan kepada kami dan meletakkan kami dalam situasi yang berisiko. Akhirnya, kami perlu beraksi dengan 11 orang dan itulah yang akan kami lakukan.

"Kami akan menyesuaikan diri, kami akan mencari penyelesaiannya dan terus maju ke depan."

Jika tidak, pemain berusia 22 tahun, Rey Manaj, yang menandatangani kontrak bersama Barca B daripada Albacete pada bulan lalu sedia menampung masalah untuk menggempur kubu lawan.


Editor: Shaiful Shamsudin