Setien: Sumbangan Messi tidak boleh dinilai sekadar gol

Oleh Muzaffar Musa 16 Jun 2020 94
Setien: Sumbangan Messi tidak boleh dinilai sekadar gol
Ketua jurulatih Barcelona, Quique Setien, berkata Lionel Messi perlu dinilai lebih daripada sumbangannya di depan gol ketika penyerang itu menghampiri satu lagi catatan sejarah dalam kariernya.

Legenda Argentina itu hanya memerlukan dua gol lagi bagi menghimpunkan sejumlah 700 jaringan buat kelab dan negaranya selepas membantu Barca menewaskan Mallorca 4-0, Sabtu lalu -- perlawanan pertama mereka sejak LaLiga bersambung selepas direhatkan berikutan pandemik Covid-19.

Messi berpeluang mencatatkan satu lagi penanda aras dalam kariernya ketika menentang Leganes dalam perlawanan secara tertutup di Camp Nou awal pagi esok.

Setien mengakui pencapaian itu akan dicapai Messi -- yang tetap diturunkan ketika berdepan Mallorca biarpun berdepan kecederaan dalam sesi latihan --  tetapi berkata kapten Barca itu patut dipuja kerana sumbangan yang lebih besar dan bukan sekadar rekod jaringannya.

"Leo baik-baik sahaja, anda tidak perlu sentiasa menilainya berdasarkan jumlah jaringannya tetapi juga terhadap sumbangan-sumbangan lain seperti bantuan gol. Ia memberikan kami banyak mata.

"Ia jumlah yang amat besar. Saya fikir dia akan mencapai angka 700 dan kerana itu dia merupakan pemain terbaik di dunia," katanya.

Setien berdepan dilemma dalam memilih pemain bagi mengelakkan kecederaan selepas kembali daripada rehat panjang.

Antoine Griezmann mengepalai jentera serangan ketika berdepan Mallorca manakala Luis Suarez, yang baru pulih daripada kecederaan, diletakkan di bangku simpanan.

Dengan satu lagi perlawanan menentang Sevilla pada Jumaat ini, Setien perlu menentukan pemain mana yang akan diletakkan di bahagian depan ketika menentang Leganes.
 
"Saya masih belum memutuskan sama ada Suarez akan bermula esok, saya perlu berbincang dengannya.

"Kami perlu berhati-hati, selepas kecederaan jangka panjang, masalah otot boleh terjadi. Kami perlu berjaga-jaga.

"Luis Suarez boleh menjadi pemain yang direhatkan esok atau pada perlawanan yang seterusnya.

"Mujur kami mempunyai lebih ramai pemain. Kami mempunyai satu pasukan yang perlu menyesiakan diri dengan keadaan.

"Griezmann, tidak dapat disangkal lagi, adalah pemain bola sepak yang hebat, kami boleh terus berharap kepadanya. Dia akan terus mengetuai peranan itu kerana dia amat penting buat pasukan dan kelab ini tetapi terdapat juga pemain lain yang kami perlu turunkan," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen