Barcelona berdepan tindakan undang-undang daripada Quique Setien sambil bekas pengurus itu meluahkan kekecewaan berhubung cara pemecatannya.

Setien disingkirkan daripada jawatannya itu bagi membuka laluan kepada Ronald Koeman untuk kembali ke Camp Nou dan mengambil alih pasukan.

Bekas pengurus Real Betis itu, bagaimanapun, mendedahkan bahawa kelab Catalan tersebut tidak menawarkan sebarang pampasan dan gagal memenuhi syarat kontrak yang dimeterai pada Januari lalu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan Setien di media sosial olehnya termasuk barisan kejurulatihan yang terdiri daripada Eder Sarabia, Jon Pascua dan Fran Soto, mereka mendedahkan hanya menerima pengesahan bertulis mengenai pemecatan mereka kelmarin.

Pengurus terbabit menjelaskan bekas majikannya itu hanya mengirimkan surat pengesahan pemecatannya melalui 'burofax' dan mengatakan hingga ke saat ini bahawa "lembaga pengarah FC Barcelona bersikap memeluk tubuh".


Menurut kenyataan Setien dan barisan kejurulatihannya, Barcelona menunjukkan "niat yang jelas untuk tidak mematuhi" kontrak yang ditandatangani pada 14 Januari lalu, pada minggu Setien dilantik untuk menggantikan Ernesto Valverde.

Menurut lagi: "Seperti yang sudah diketahui umum bahawa pada tanggal 17 Ogos lalu, kelab dan presiden mengumumkan pemecatan saya dengan terburu-buru.

"Namun, baru semalam, 16 September (sebulan kemudian) mereka menghantar surat pengesahan pemecatan saya. Buat pertama kalinya, komunikasi bertulis mengenai pemecatan tersebut (diselesaikan tanpa pampasan)."

Perkara itu telah diserahkan kepada peguam bagi menuntut haknya selepas melalui tujuh bulan yang sukar yang menyaksikan mereka menyerahkan penguasaan LaLiga kepada juara, Real Madrid, sejak kempen bersambung Jun lalu selepas diancam krisis COVID-19 selain diaibkan 2-8 oleh Bayern Munich dalam separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL).