Pengendali Barcelona, Quique Setien, berkata beliau berminat dengan "semua pemain berkualiti" selepas kelab itu dikaitkan dengan penyerang Valencia, Rodrigo.

Pendahulu LaLiga itu kini dalam usaha untuk mendapatkan penyerang baru selepas Luis Suarez diketepikan bagi baki saingan musim ini selepas menjalani pembedahan lutut.

Barca telah dikaitkan dengan ramai pemain sejak Suarez tidak dapat beraksi, antaranya Chimy Avila, Pierre-Emerick Aubameyang dan Timo Werner.

Rodrigo turut dikhabarkan menjadi sasaran kelab itu dan Setien berminat dengan pemain kebangsaan Sepanyol itu.

Ditanya secara khusus mengenai Rodrigo menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Mestalla, Setien berkata, "Saya menggemari semua pemain berkualiti.

"Dia seorang pemain yang luar biasa dan dalam perlawanan esok, dia mampu menghadirkan masalah kepada kami -- dia adalah tonggak utama pasukan.

"Saya lebih berminat jika dia tidak beraksi tetapi kami menyedari Valencia memiliki skuad ampuh."

Setien dilantik sebagai pengganti Ernesto Valverde minggu lalu dan telah memenangi dua perlawanan pertama, termasuk kemenangan 2-1 dalam saingan Copa del Rey ke atas Ibiza.

Barca hampir dikejutkan kelab divisyen bawahan itu apabila terpaksa memerlukan jaringan minit akhir daripada Antoine Griezmann untuk mara ke pusingan 16 berdepan Leganes.

Barca kini berkongsi mata dengan Real Madrid di puncak LaLiga menjelang pertemuan dengan Valencia, yang berada di tangga ketujuh selepas tewas 4-1 kepada Real Mallorca.

Setien, yang bimbang dengan kebangkitan yang mahu ditampilkan skuad kendalian Albert Celades itu, bagaimanapun berkata, "Apabila pasukan seperti Valencia tewas dalam aksi sebelum ini, keinginan untuk menang adalah motivasi mereka.

"Seperti apa yang selalu saya katakan dan ulangi, saya sentiasa menjangkakan versi terbaik daripada pesaing kami."

"Valencia tidak diragui adalah pasukan yang berkualiti, mereka dibarisi pemain-pemain yang cemerlang. Mereka akan menghadirkan kesukaran dan perlawanan ini dijangka sengit."



Editor: Ammar Hakim