ATHLETIC BILBAO 0 BARCELONA

Quique Setien memuji Ivan Rakitic selepas pemain tengah itu muncul wira kemenangan 1-0 Barcelona ke atas Athletic Bilbao, awal pagi tadi.


Rakitic menemui sentuhan penyudah pada minit ke-71 untuk memastikan Barca kembali merampas tangga teratas, tiga mata mengatasi pesaing terdekat, Real Madrid.

Masa depan pemain Croatia itu menjadi topik hangat dalam beberapa bulan kebelakangan ini tetapi pengurus skuad Catalunya berkenaan memuji persembahannya setelah pemain tengah tersebut dimasukkan sebagai pemain gantian.

"Dia masuk dalam babak kedua untuk menggantikan Busi (Sergio Busquets). Dia telah melakukannya dengan jujur," katanya kepada Movistar.

"Dia memahami bola sepak dengan sangat baik. Dia berada di posisi yang baik, merampas bola dan telah menyertai gerakan berbahaya.

"Saya sangat gembira buatnya."




Sejak kembali beraksi setelah kempen musim ini terjejas ekoran wabak COVID-19, Barca telah mengumpulkan 10 mata daripada empat perlawanan dan masih belum dibolosi.

Justeru, Setien gembira dengan penampilan separuh masa kedua pasukannya sambil memuji dua lagi pemain gantian, Ansu Fati dan Riqui Puig, atas persembahan mereka.

"Dalam babak pertama, hantaran kami tidak begitu tepat. Kami kerugian, sukar untuk kami kembali menguasai bola setelah kehilangannya," katanya.

"Saya dapat menyaksikan aksi separuh masa kedua yang lebih tenang. Kemasukan Ansu dan Riqui telah memberi kami dinamik. Mereka menawarkan penguasaan yang lebih lama.

"Saya gembira dengan babak kedua. Dan separuh masa pertama kami perlu tunjukkan peningkatan."

Barcelona akan meneruskan kempen dengan melakukan perjalanan ke Celta Vigo Sabtu ini.