BERCELONA 3 NAPOLI 1
(Barca mara ke suku akhir dengan agregat 4-2)

Pengurus Barcelona, ​​Quique Setien, berpendapat corak permainan Barcelona berjaya menjinakkan Napoli dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi walaupun sempat dipalit rasa khuatir di bangku simpanan.


Gol daripada Clement Lenglet, Lionel Messi dan Luis Suarez menyempurnakan kemenangan 3-1 Barca di Camp Nou awal pagi tadi sekali gus mara dengan agregat kemenangan 4-2.

Barca menerajui 3-0 dalam separuh masa pertama selain satu gol dibatalkan kerana bola dikesan terkena tangan Messi dan walaupun sepakan penalti Lorenzo Insigne dalam masa kecederaan separuh masa pertama menyalakan harapan Napoli, mereka masih gagal mengekang keampuhan Blaugrana.

Gergasi Sepanyol itu tewas kepada Liverpool dan Roma menerusi kebangkitan luar biasa dalam dua musim terakhir, sehubungan itu Setien berasa lega dengan penampilan anak buahnya ketika berada di bawah tekanan Napoli walaupun mengakui dilanda kegelisahan.

"Inilah yang kami mahukan, membuat langkah pertama dan menunggu perlawanan seterusnya dengan kegembiraan, seperti mana yang kami hadapi ketika ini," katanya kepada Movistar.

"Persembahan kami sangat bagus dan kami berhak meraih kemenangan.



"Memang benar mereka membuat kami berkompromi pada minit awal permainan. Napoli merupakan sebuah pasukan yang sangat mantap -- tidak mudah melaksanakan tugas ini. Mereka merupakan salah satu pasukan terbaik di Itali.

"Kami mengendalikannya dengan sempurna, kami menampilkan aksi babak pertama yang sangat bagus dan dalam babak kedua, mereka lebih menguasai tetapi mereka masih tidak meletakkan kami dalam bahaya.

"Gol kedua memberikan mereka dorongan untuk mengasak kami. Tentu saja akan timbul perasaan sedikit gugup."

Messi mengalami kecederaan betis ketika memenangi sepakan penalti selepas dicabar Kalidou Koulibaly, tetapi Setien yakin bintang utamanya itu mampu menghadapi Bayern Munich, yang membelasah Chelsea 7-1 secara agregat, dalam suku akhir minggu depan.

"Dia diterjah keras tetapi dia kelihatan baik-baik saja. Dia memerlukan rawatan tetapi saya rasa itu tidak akan menjadi masalah besar," katanya mengenai Messi.

"Ini akan menjadi pertemuan yang sangat sulit. Mereka (Bayern) layak dengan perbezaan enam gol. Mereka adalah pasukan yang luar biasa dan ini akan menjadi satu pertembungan yang hebat."