Ketua jurulatih Barcelona, Quique Setien, memuji penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez, sambil berkata bergandingan dengan Lionel Messi akan memberikan faedah yang besar buat mana-mana pemain.

Martinez tidak henti-henti dikaitkan dengan pasukan gergasi LaLiga itu, yang dilaporkan turut berminat untuk mendapatkan semula bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar.

Pemain berusia 22 tahun itu pernah beraksi di samping Messi dalam skuad kebangsaan Argentina, di mana dia turut menjaringkan sembilan gol daripada 17 penampilan antarabangsa.

Kerap ditanya mengenai Martinez, Setien memuji penyerang muda berbakat itu sambil berkata beraksi bersama Messi mungkin dapat menarik minat mana-mana pemain untuk menyertai Barcelona.

"Lautaro Martinez pemain yang luar biasa," katanya kepada Gazzetta dello Sport.

"Messi sukakannya? Kita perlu bertanya kepadanya. Semua pemain hebat akan menarik minat Barcelona.

"Sama dengan fakta bahawa bermain di samping Messi akan memberikan faedah yang besar," katanya.

Martinez menjaringkan 16 gol daripada 31 perlawanan buat Inter sebeum musim ini dihentikan berikutan pandemik koronavirus.