Josep Maria Bartomeu berkata Quique Setien "dipecat" selepas presiden Barcelona itu mengesahkan pemecatan pengurus berkenaan.

Barca dikhabarkan bersedia untuk memecat Setien berikutan dibelasah 2-8 oleh Bayern Munich dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) di Lisbon, kelmarin.

Buat kali pertamanya sejak 1946, gergasi LaLiga itu melepaskan lapan gol dan Setien -- yang dilantik bagi menggantikan Ernesto Valverde Januari lalu -- menyerahkan masa depannya di Camp Nou di tangan majikannya.

Barca dilaporkan bersedia untuk mengumumkan secara rasmi pemecatan pengurus berusia 61 tahun itu hari ini selepas Bartomeu mendedahkan kepada COPE Tiempo de Juego semalam: "Setien disingkirkan".

Tindakan itu muncul selepas bekas pertahanan kelab itu, Ronald Koeman, mendahului senarai calon yang berpotensi menduduki kerusi panas tersebut.

Pengurus Belanda itu telah dikaitkan dengan Barca susulan pemecatan Valverde sebelum mereka memutuskan beralih kepada khidmat Setien.



Koeman mendedahkan kontraknya di Belanda mempunyai klausa yang membolehkannya menuju ke Camp Nou sejurus berakhirnya kempen Kejohanan Euro 2020, namun kejuaraan benua itu ditunda 12 bulan lagi akibat COVID-19.

Jun lalu, bekas pengendali Everton itu -- yang memenangi empat gelaran LaLiga dan Liga Eropah/Liga Juara-Juara (UCL) selaku pemain di Camp Nou -- berkata kepada Catalunya Radio: "Semua orang tahu bahawa impian saya adalah untuk menguruskan Barca."

Bekas pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, turut muncul sebagai pilihan di samping Xavi yang hebat dan bekas pengendali Juventus, Massimiliano Allegri.

Barca mengharungi musim 2019-20 yang tidak dapat dilupakan apabila menyerahkan pendahuluan kepada Real Madrid dalam perebutan LaLiga selepas kempen itu ditangguhkan sejak Mac lalu ekoran krisis pandemik berkenaan.

Kelab itu juga tewas dalam suku akhir Copa del Rey dan separuh akhir Supercopa de Espana untuk mengakhiri musim ini tanpa trofi.

Kesengsaraan Barca di dalam dan luar padang juga telah menimbulkan spekulasi baru mengenai masa depan Lionel Messi apabila ketua pasukan itu dilaporkan bersedia untuk angkat kaki susulan apabila semakin hangat dikaitkan ke Serie A untuk menyertai Inter dan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) , Manchester City.