Quique Setien berasakan Barcelona tidak memiliki kelebihan dan kurang bernasib baik selepas terikat 2-2 dengan Celta Vigo -- yang menyaksikan mereka tidak lagi boleh melakukan kesilapan dalam perebutan gelaran LaLiga musim ini.

Luiz Suarez menjaringka gol berganda buat Barca tetapi mereka gagal memeprtahankan kelebihan itu biarpun menguasai perlawanan di Abanca-Balaidos awal pagi tadi.

Pasukan itu mempamerkan aksi terpuji dalam babak pertama, di mana pemain muda, Riqui Puig, mencuri tumpuan dalam aksi liga pertamanya sebagai kesebelasan utama, namun hanya membawa bekalan satu gol menjelang waktu rehat.

Setien berasakan mereka sepatutnya memperoleh sesuatu yang lebih baik, di mana percubaan Barca kerap dinafikan tiang gol sambil tandukan Gerard Pique terkena palang sebelum Suarez membuka jaringan pada minit ke-20.

"Mereka mengambil risiko yang besar dalam beberapa minit terakhir dan menemui jaringan penyamaan yang memberikan mereka satu mata.

"Kami tidak sepatutnya berada dalam situasi itu memandangkan kami pasukan yang jauh lebih baik dalam babak pertama.

"Kami sepatutnya menuju ke waktu rehat dengan kelebihan yang lebih selesa.

"Kami tidak berada pada waktu yang jelas.

"Kami melakukan banyak perkara dengan baik. ia sepatutnya menjadi perlawanan yang lebih selesa.

"Kami sememangnya kurang keyakinan untuk mengubah permainan kami kepada jaringan gol.

"Penguasaan yang kami peroleh dalam babak pertama sudah cukup untuk kami memenangi perlawanan ini dan berada dalam keadaan yang lebih selesa dalam babak kedua.

"Kami sukar melakukannya. Jaringan adakalanya turut melibatkan nasib," katanya.

Jaringan daripada sepakan percuma Iago Aspas pada lewat permainan menafikan hasrat Barca untuk meraih mata penuh.

Biarpun pungutan satu mata itu sudah cukup untuk mereka kembali ke puncak liga, pencabar terdekat, Real Madrid, akan kembali memintas mereka sekiranya menewaskan Espanyol awal pagi esok.

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu turut memegang kelebihan berdasarkan rekod pertemuan dengan seteru mereka itu musim ini.

Setien menyedari Barca kini memerlukan bantuan daripada pasukan lain untuk mempertahankan kejuaraan liga mereka.

"Kami sudah tidak boleh melakukan sebarang kesilapan. Secara teorinya, kami perlu memenangi kesemua baki perlawanan dan berharap seteru kami akan keciciran mata.

"Kami akan cuba untuk memungut mata maksimum," tambahnya.

Setien dan pemainnya akan menantikan kunjungan Atletico Madrid di Camp Nou, Selasa ini.