Perlis memberi bayangan akan dibarisi pemain ternama musim depan selepas sesi pemilihan yang diadakan menarik sejumlah besar pemain yang memiliki reputasi dalam kancah Liga Malaysia.

Perlis hanya akan beraksi dalam saingan Liga FAM bagi musim 2019 tetapi itu tidak menghalang untuk beberapa pemain ternama mencuba nasib bersama skuad Singa Utara itu sehingga mencetuskan reaksi terkejut pengendali, Manzoor Azwira Abdul Wahid.

Antara yang hadir dalam sesi pemilihan adalah Abdul Manaf Mamat, Khyril Muhymeen Zambri, Fauzi Roslan dan Amiridzwan Taj Tajuddin.

Sebelum ini, pemenang Anugerah Puskas 2016, Faiz Subri, juga dilaporkan menyertai sesi latihan bersama skuad Perlis.

"Kami juga ada memanggil beberapa pemain yang memiliki reputasi dalam Liga Malaysia. Ada juga yang datang sendiri dan berminat untuk menyertai Perlis.

"Kami sedang menyiapkan pasukan dan cuba melakukan persiapan awal demi memastikan kami tampil lebih baik berbanding sebelum ini," kata Manzoor.

Bagaimanapun, Manzoor enggan terburu-buru menandatangani pemain berdasarkan status dengan perkara paling penting adalah melihat tahap kecergasan serta komitmen yang mampu diberikan sebelum mengumumkan senarai penuh pemain musim depan.

"Saya melihat kepada kualiti pemain walaupun mereka pernah mencipta nama besar. Keserasian adalah aspek utama yang saya tekankan."