Presiden Lazio, Claudio Lotito, berkata cadangan menyambung saingan Serie A berikutan krisis novel koronavirus (Covid-19) merupakan kemenangan bagi semua bola sepak di Itali.

Semalam, menteri sukan Itali mengumumkan Serie A akan diteruskan mulai 20 Jun depan selepas tertangguh sejak Mac lalu akibat pandemik itu dan bulan ini kelab-kelab diizinkan untuk kembali menjalani latihan.

Lazio berada di kedudukan kedua dan hanya ketinggalan satu mata di belakang juara bertahan, Juventus, selepas 26 perlawanan.

Lotito, yang lega dengan pengumuman itu, memberitahu Adnkronos: "Ini bukan kemenangan untuk Lotito, sebaliknya untuk semua bola sepak Itali.

"Saya yakin bahawa dengan kembalinya saingan ini, bola sepak kami akan dapat mengekalkan standard kualiti tinggi yang diiktiraf di seluruh dunia.

"Serie A adalah salah satu liga terpenting dalam sukan ini."




Perlawanan separuh akhir Coppa Italia akan diadakan pada 13 Jun manakala kempen Serie A akan diadakan pada minggu berikutnya.

Milan dijadualkan akan menghadapi Juve dalam pertemuan kedua separuh akhir Coppa Italia di Turin, 4 Mac lalu, selepas terikat 1-1 dalam aksi awal.

Satu lagi perlawanan separuh akhir juga di landasan yang baik yang menyaksikan Napoli berkelebihan 1-0 ketika menentang Inter menjelang pertemuan kedua di San Paolo.

Namun, Presiden Milan, Paolo Scaroni, berkata kepada ANSA: "Kami memahami nilai untuk menawarkan perlawanan berkualiti kepada peminat setelah beberapa bulan terkurung.

"Namun, daripada segi perspektif sukan, kami berpandangan perlawanan merebut trofi penting seperti Coppa Italia dengan mengadakan dua perlawanan dalam tempoh tiga hari selepas tiga bulan tidak aktif akan menjadi satu isu yang boleh diperdebatkan."