TORINO 0 JUVENTUS 1

Pengurus Juventus, Maurizio Sarri, berkata masih terlalu awal untuk menganggap perebutan mahkota Serie A musim ini hanya perlumbaan dua kuda melibatkan juara bertahan itu dan Inter Milan.


Dalam pertembungan "Derby della Mole" awal pagi tadi, Juventus meraih kemenangan 1-0 ke atas Torino di tempat lawan untuk kembali memintas seteru utama, Inter Milan, di puncak liga.

Gol kedua Matthijs de Ligt bersama Juve memastikan pasukan itu berkelebihan satu mata selepas 11 perlawanan -- selepas Inter menewaskan Bologna 2-1 dalam satu lagi perlawanan.

Bagaimanapun, Sarri menolak andaian bahawa perebutan Scudetto musim ini hanya melibatkan Juve dan Inter memandangkan Atalanta berpeluang merapatkan kedudukannya dengan kelompok atasan itu sekiranya menewaskan Cagliari malam ini.

"Masih terdapat 81 mata untuk diraih. Kedudukan esok (malam ini) mungkin sudah dapat memberikan anda gambaran yang berbeza," katanya kepada wartawan.

"Kerana kedudukan hari ini tidak termasuk beberapa pasukan besar yang akan beraksi.

"Mungkin Atalanta akan lebih hampir (dengan kami) esok.

"Saya fikir ia masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya.

"Saya faham wartawan lebih gemar membandingkan dua pasukan kerana ia akan menjadi faktor penarik buat media.

"Tetapi sejujurnya, masih terlalu awal untuk menyingkirkan pasukan lain dalam perebutan ini," katanya.

Mengenai perlawanan menentang Torino, Sarri menambah: "Saya gembira dengan prestasi pasukan kerana kami berdepan aksi 'derby' yang sangat sukar, dengan keamatan dan aksi agresif pada tahap tertinggi.

"Keputusan itu mungkin tidak bagus jika mengambil kira perwatakan kami tetapi kami bermain dengan baik dan menyelesaikannya.

"Dan apabila jurulatih dapat melihat prestasi yang matap daripada segi karakter pasukannya, dia akan sentiasa gembira," katanya lagi.