Serie A mengumumkan 13 Jun sebagai tarikh penyambungannya semula musim 2019-20 berikutan penangguhan selama tiga bulan yang disebabkan wabak koronavirus.

Saingan tertinggi Itali telah ditangguh 9 Mac lalu ketika COVID-19 menular hampir di seluruh wilayah negara itu, dengan Perdana Menteri, Giuseppe Conte, melarang perjumpaan besar dan acara sukan.

Walaupun penangguhan awal itu pada awalnya mahu dihentikan pada permulaan bulan lalu, krisis virus tersebut bertambah teruk sehinggg 221,000 orang di Itali dilaporkan positif.

Dengan pasukan kini diberikan lampu hijau untuk kembali ke memulakan sesi latihan secara individu awal bulan ini dan sesi kumpulan akan disambung semula 18 Mei ini, situasi kebiasaan untuk bola sepak Itali akan sekali lagi dapat disaksikan.

Serie A telahpun mengesahkan bahawa 13 Jun telah ditetapkan sebagai sasarannya mereka untuk kembali meneruskan musim 2019-20.

Menerusi satu kenyataan yang berbunyi: "Ahli-ahli gabungan Serie A telah bertemu semalam melalui sidang video.

"Serie A menegaskan, dalam hubungan dengan pemegang lesen hak audio visual 2018-2021, perlunya mematuhi tarikh akhir pembayaran yang ditetapkan oleh kontrak untuk menjaga hubungan yang membina dengan mereka.

"Sehubungan dengan dimulainya kembali kegiatan sukan, tanggal 13 Jun ini merupakan tarikh saingan bola sepak disambung semula, sesuai dengan keputusan pemerintah dan sesuai dengan protokol perubatan untuk perlindungan pemain dan semua profesional."

Pengumuman itu dibuat setelah Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) menerima permintaan untuk menyesuaikan protokol perubatan mereka agar lebih selaras dengan peraturan pemerintah.

Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora, mengesahkan kesepakatan telah dibuat antara badan-badan tertentu, dengan menekankan bahawa mereka mahu musim ini dapat disempurnakan tetapi dengan syarat, 'semua orang dalam keadaan selamat'.