Philipp Lahm bimbang dengan ancaman serangan balas Real Madrid menjelang kunjungan Bayern Munich ke Santiago Bernabeu bagi aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Madrid dan Bayern telah bertemu 22 kali dalam kejohanan ini, kali terakhir menyaksikan gergasi Sepanyol itu meraih kemenangan agregat 5-0 dalam saingan separuh akhir, tiga tahun lalu.

Bayern mendominasi perlawanan, namun taktikal serangan balas Real telah menghancurkan The Bavarians dan kapten pasukan, Lahm, telah banyak mengambil pengajaran dan mencari jalan untuk menangani Los Blancos.

"UCL adalah kejohanan yang sukar," kata Lahm.

"Kami telah diberitahu supaya mengelak daripada diserang balas seperti kali terakhir kami bertemu mereka.

"Pasukan ini sudah biasa tidak mengawal permainan dan membenarkan pasukan lawan mendominasi perlawanan."

Lahm akan bersara pada penghujung musim ini, dengan pemenang Piala Dunia 2014 itu akan beraksi dalam UCL buat kali terakhir dan berharap untuk mara ke separuh akhir.

"Setiap pemain di dalam pasukan ini perlu memberikan yang terbaik kerana kami berdepan pasukan yang memiliki pemain-pemain yang terbaik dalam setiap posisi."