Jose Mourinho menjelaskan isu pemilihan pemain dalam aksi ulangan Piala FA menentang Southampton dengan mengibaratkan situasi di Tottenham seperti kekurangan buah catur.

Spurs bergelut sebelum menewaskan Southampton 3-2 selepas meraih dua gol dalam tempoh 12 minit terakhir di Stadium Tottenham Hotspur.

Lucas Moura menyamakan kedudukan buat tuan rumah sebelum sepakan penalti Son Heung-min mengesahkan pertemuan dengan Norwich City dalam pusingan 16..

Spurs turun tanpa Harry Kane, Moussa Sissoko, Ben Davies, Giovani Lo Celso dan Erik Lamela yang mengalami kecederaan sambil bintang baru, Steven Bergwijn, tidak dibenarkan beraksi.

Dele Alli hanya boleh beraksi selaku pemain gantian dan Mourinho memberi gambaran masalah yang dihadapi.

"Saya perlu uruskan permainan catur ini dalam keadaan kekurangan," katanya.

"Anda tahu, tiada biskop, raja, permaisuri. Sangat sukar dengan masalah kecederaan dan sebagainya. Tanpa Bergwijn.

"Saya tidak boleh bercakap mengenai kemajuan yang mahu dicapai kerana tiada pemain yang dimahukan. Pasukan perlukan pemain untuk mara, mencapai taktikal dan dinamik. Kami perlu memiliki pemain tetapi tidak.

"Kami kehilangan ramai pemain. Sissoko, Kane dan hari ini, Lamela, Lo Celso serta Bergwijn. Ia sangat sukar.

"Satu perlawanan kami terpaksa mengetepikan A, B dan C dan dalam aksi seterusnya beraksi tanpa D, E dan F. Ia musim yang sukar.

"Ia seperti menarik selimut tetapi kaki di luar. Kemudian, kaki ditutup dan separuh badan anda terdedah. Itulah kami tetapi semangat dalam pasukan sangat bagus dan saya sukakannya."


Editor: Nafis Abdullah