Kelab Piala FAM, PJ Rangers, mengesahkan telah menolak pelawaaan Malaysia Football League (MFL) bagi mengisi slot pasukan jemputan dalam Piala Cabaran 2018 kerana mahu memberi komitmen kepada separuh akhir bagi mengejar slot ke Liga Perdana, musim depan.

Timbalan Presiden PJ Rangers, Simon Lim, menjelaskan pemburuan tiket ke Liga Perdana 2019 merupakan perkara paling penting buat mereka, ketika ini.

Tambahan, jadual separuh akhir Piala FAM dan Piala Cabaran terlalu rapat, membuatkan Simon tidak mahu ia bakal mengundang masalah kepada pasukannya dalam soal kecergasan serta fokus pemain.

"Saya rasa kami perlu lebih fokus kepada sasaran untuk mara ke Liga Perdana, iaitu separuh akhir Piala FAM. Jadi, keutamaan memang diberikan kepada Piala FAM.

"Selepas berbincang dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya rasa MFL tidak akan meminda tarikh Piala Cabaran, jadi kami memutuskan menarik diri," katanya.

Sementara itu, Simon turut mengesahkan pihaknya masih belum bersedia menjelaskan tuntutan gaji oleh bekas jurulatih, Mat Zan Mat Aris, yang berjumlah RM330,000 seperti diputuskan Jawatankuasa Sstatus FAM.

Mereka akan membawa kes terbabit kepada Jawatankuasa Rayuan FAM kerana berdasarkan klausa di dalam kontrak, Mat Zan hanya mempunyai hak untuk menuntut baki gaji tiga bulan selepas gagal membawa PJ Rangers naik ke Liga Perdana.

"Dalam kontrak sudah tertulis, jika dia tidak membawa kami naik ke Liga Perdana, kami berhak menamatkan kontraknya dengan segera dan membayar pampasan tiga bulan tetapi dia meminta pampasan selama setahun.

"Perkara ini telah dibawa ke jawatankuasa FAM dan kami sedang menguruskannya. Biar FAM menentukan dan kami juga melakukan rayuan. Kita lihat nanti."