Manchester United akan bertemu Chelsea dan Arsenal akan menentang Manchester City dalam separuh akhir Piala FA.

Dengan lima pasukan daripada Liga Perdana Inggeris masih bersaing dalam suku akhir awal pagi tadi, undian itu berlangsung pada waktu rehat separuh masa ketika City menentang Newcastle United di St James' Park -- di mana skuad kendalian Pep Guardiola itu menang 2-0 hasil jaringan penalti Kevin De Bruyne dan Raheem Sterling.

United, yang memerlukan perlawanan dilanjutkan hingga ke masa tambahan untuk menewaskan Norwich City 2-1 hasil jaringan lewat Harry Maguire sehari sebelumnya, bakal mencongak perhitungan dengan skuad kendalian Frank Lampard itu, yang menewaskan Leicester City 1-0 awal pagi tadi.

Ia berpotensi untuk menjadi ulangan final Piala FA musim 2017-18, di mana Chelsea menewaskan Arsenal, yang ketika itu dibimbing Antonio Conte, 1-0.

Arsenal memerlukan jaringan Dani Ceballos dalam waktu kecederaan untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan gol kemenangan skuad The Gunners itu hanya tiba selepas empat minit David McGoldrick menyamakan kedudukan buat Sheffield united.

Perlawanan separuh akhir akan berlangsung secara tertutup di Stadium Wembley pada 18 dan 19 Julai ini manakala perlawanan akhir pula berlangsung pada awal Ogos depan.