“Ini adalah final buat kami dan pemain akan mengerah segala kudrat sepanjang 90 minit untuk ke Liga Perdana.”

Itu janji pengendali Felcra FC, Rosle Md Derus, menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FAM berdepan Sime Darby FC, Ahad ini.

Selepas seri tanpa jaringan dalam aksi pertama, Rosle mahu anak-anak buahnya turun memburu jaringan awal, namun tetap berwaspda dengan ancaman yang mampu dijelmakan oleh skuad kendalian Ahmad Yusoff itu.

"Saya anggap aksi kedua ini adalah perlawanan akhir. Ini adalah kali pertama kami berdepan dengan jurulatih lawan, Ahmad Yusoff, yang amat berpengalaman dan ia dapat dilihat dalam gaya permainan Sime Darby tetapi saya akan cuba untuk memperbaiki sebarang kelemahan dalam aksi sebelum ini," kata Rosle.

Dalam masa sama, pemain Felcra yang juga penyerang skuad B-22 tahun negara, N. Thanabalan, bertekad untuk membalas kepercayaan kelab itu dengan memastikan tempat buat Felcra dalam Liga Perdana musim depan.

"Perlawanan ini dikira final kerana jika menang, tempat dalam Liga Perdana sudah terjamin," tambah Thanabalan.