Julen Lopetegui mempunyai ramai pemain berbakat dan percaya Sepanyol adalah sebuah pasukan ampuh, sama ada dengan kehadiran pemain Real Madrid, Isco, atau tidak.

Isco menyerlah sepanjang 2017 apabila mengatasi James Rodriguez untuk menjadi pemain utama di peringkat kelab bersama Madrid di samping mengekalkan prestasinya di peringkat antarabangsa.

Lapan daripada 10 jaringannya dalam LaLiga pada musim lalu muncul selepas tahun baru manakala dia menokok empat lagi gol dalam 11 penampilan untuk pasukan bimbingan Zinedine Zidane itu.

Pemain berusia 25 tahun itu juga mencetak lima gol lagi dalam lapan perlawanan untuk Sepanyol tahun ini, lalu Isco dilihat sudah bersedia memainkan peranan besar dalam Piala Dunia tahun depan.

Begitupun, Lopetegui menegaskan tanpa pemain itu, Sepanyol tetap pasukan yang hebat, dan pendapatnya itu akan dibuktikan apabila mereka berdepan pasukan tuan rumah Piala Dunia, Russia, awal pagi esok tanpa kelibat pemain itu yang mengalami kecederaan ringan.

"Isco adalah pemain yang dihormati kerana sedang berada dalam prestasi yang hebat," kata Lopetegui dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Bagaimanapun, kita selalu bercakap tentang fungsi pasukan secara kolektif sehingga memberi manfaat kepada individu.

"Bagi kami, semua pemain adalah pemain utama, kami melihat semua pemain dengan cara yang sama.

"Saya yakin kami akan tampil baik dengan atau tanpa Isco, kami akan menjadi pasukan yang hebat," hujahnya.

Lopetegui mengharapkan Russia akan mendekati perlawanan itu dengan serius kerana mereka tidak mempunyai perlawanan pusingan kelayakan dan dia tidak ragu-ragu mereka merupakan ancaman.

"Russia, selain menjadi tuan rumah, adalah pasukan yang sangat baik.

"Mereka tidak mempunyai kempen kompetitif rasmi, mereka akan mengambil pendekatan bahawa setiap perlawanan persahabatan seolah-olah adalah aksi kompetitif. Mereka akan membawa kami ke tahap dalam percubaan untuk menang.

"Berdasarkan sejarah, mereka sering mempunyai pemain hebat dalam aspek teknikal dan fizikal.

"Pada hari ini, jika pemain mereka tidak meninggalkan Russia, ia adalah kerana liga mereka sengit dan kukuh daripada segi ekonomi. Kami perlu mempamerkan permainan hebat untuk bersaing dengan mereka," katanya.