Bintang Argentina, Lionel Messi, mendedahkan dirinya tidak mahu berdepan dengan Sepanyol dalam Piala Dunia di Russia, tahun depan.

Skuad La Albiceleste itu mengesahkan slot ke Piala Dunia 2018 selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Ecuador dalam perlawanan terakhir peringkat kelayakan.

Skuad kendalian Jorge Sampaoli itu hampir terlepas tiket ke Russia selepas lawan menjaringkan gol pendahuluan, namun hatrik daripada Messi berjaya melayakkan mereka secara automatik.

Situasi itu membuatkan Messi tidak berasakan pasukannya sebagai pilihan di pentas berprestij itu dan menamakan Sepanyol sebagai pasukan yang perlu dielakkan.

"Sepanyol, Jerman dan Perancis adalah antara pasukan yang berada dalam keadaan terbaik ketika ini. Saya rasa mereka adalah pilihan.

"Saya tidak mahu berdepan Sepanyol di peringkat kumpulan. Saya lebih gemar untuk mengelak daripada bertemu mereka kerana La Roja adalah lawan yang sukar," katanya.

Dalam masa sama, pemenang lima kali Ballon d'Or itu tetap menyimpan hasrat untuk menjuarai saingan tahun depan, selepas tewas 0-1 di tangan Jerman dalam final edisi sebelum ini, sambil berikrar untuk berjalan kaki sejauh 65 kilometer.

"Jika Argentina menjuarai Piala Dunia, saya akan berjalan kaki dari Rosario ke San Nicolas," hujahnya.