Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) akan mengadakan sidang media esok susulan laporan bahawa Luis Enrique akan kembali menggantikan Robert Moreno selaku ketua jurulatih pasukan itu.

Moreno tidak menghadiri sidang media selepas pasukannya menewaskan Romania 5-0 dalam pusingan kelayakan Euro 2020 di Wanda Metropolitano awal pagi tadi.

Susulan itu, RFEF mengumumkan bahawa presidennya, Luis Rubiales, dan pengarah kesukanan, Francisco Molina, akan mengadakan sidang media pada jam 12.30 waktu tempatan (11.30 GMT) esok.

Bekas pembantu jurulatih, Moreno, sebelum ini dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih sejak Luis Enrique mengambil cuti ekoran anaknya, Xana, disahkan menghidap barah tulang Mac lalu.

Bagaimanapun, anak Enrique meninggal dunia Ogos lalu.

Selepas bekas pengurus Barcelona itu mengesahkan peletakan jawatannya Jun lalu, Moreno dilantik sebagai penggantinya dan membantu Sepanyol layak ke pusingan akhir Euro 2020 dengan rekod empat kemenangan dan dua seri dalam saingan Kumpulan F.

RFEF dilaporkan akan mengumumkan kepulangan Enrique dalam masa terdekat tetapi masih belum pasti sama ada Moreno akan kekal sebagai staf kejurulatihan pasukan itu atau tidak.

Rubiales berkata pintu sentiasa terbuka untuk Enrique seandainya dia memilih untuk kembali ke pasukan itu dan Moreno juga pernah mengumumkan pada September lalu bahawa dia sedia memberikan laluan untuk bekas ketua jurulatih itu kembali ke pangkuan pasukan.