CROATIA 3 SEPANYOL 2

Ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique, mengharapkan kepada peluang tipis Sepanyol untuk layak ke pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah selepas pasukannya itu tewas 2-3 kepada Croatia di Zagreb, awal pagi tadi.


Sepanyol masih mendahului Kumpulan 4 Liga A, namun nasib mereka kini bukan hanya terletak di tangan mereka dengan aksi di antara England dan Croatia akan menjadi penentu kepada kedudukan teratas kumpulan, hujung minggu ini.

Enrique mengharapkan keputusan seri dalam aksi di Wembley itu untuk melayakkan pasukannya, namun sedar ia bukan suatu yang mudah.

"Kami berada dalam kumpulan yang sukar.

"Peluang sentiasa ada sehingga ke penghujung saingan.

"Saya yakin kami masih ada peluang," katanya.

Berdasarkan analisisnya, Enrique berasakan Sepanyol lebih dominan dalam babak kedua, namun serangan balas daripada Croatia menafikan kemenangan mereka.

"Ia aksi yang baik buat kedua-dua pasukan dalam separuh masa kedua.

"Kami beraksi dengan baik dan lebih layak menang.

"Saya sukakan gaya permainan kami dalam babak kedua.

"Kami bangkit sebanyak dua kali.

"Mereka bernasib baik di penghujung perlawanan. Mereka terdesak dan memberikan segalanya sebelum memperoleh jaringan.

"Kami telah melakukan yang sepatutnya untuk memenangi perlawanan, namun mereka memerangkap kami dengan serangan balas pantas.

"Saya gembira dengan prestasi kami.

"Pasukan memerlukan penambahbaikan, namun kami tidak sepatutnya tewas dalam perlawanan ini," tambahnya.