SEPANYOL 3 ALBANIA 0

Sepanyol menjadi pasukan keempat dari Eropah untuk melayakkan diri ke Piala Dunia, dengan bakal membuat penampilan dalam kejohanan terbesar bola sepak itu buat kali ke-11 berturut-turut.


La Roja memastikan bakal berentap di Russia dengan kemenangan 3-0 ke atas Albania di Alicante.

Sepanyol menjaringkan ketiga-tiga gol dalam tempoh 26 minit, dengan Rodrigo membuka jaringan pada minit ke-16 sebelum Isco meledak gol keempatnya dalam tiga saingan antarabangsa manakala tandukan Thiago Alcantara memastikan mereka selesa mengungguli perlawanan itu.

Kemenangan untuk Sepanyol manakala kejutan buat Itali selepas mereka seri 1-1 dengan Macedonia, memberikan jalan mudah buat skuad bimbingan Julen Lopetegui meraih tempat pertama dalam Kumpulan G dengan berbaki satu perlawanan.

Sepanyol dilihat sedang mencari jalan unuk bangkit pada edisi 2018 nanti selepas mereka tersingkir daripada kejohanant tersebut pada peringkat kumpulan di Brazil 2014 ketika dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Afrika Selatan pada 2010.

Belgium merupakan pasukan pertama dari Eropah untuk mara ke Piala Dunia Russia 2018, sebelum Jerman dan England memastikan tempat mereka selepas meraih kemenangan ke atas lawan masing-masing, semalam.

Russia telah layak secara automatik sebagai tuan rumah.