Sentuhan Sandro, Dybala akan kembali

Oleh Penulis Jemputan 5 November 2017 277
Sentuhan Sandro, Dybala akan kembali
Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, yakin Alex Sandro dan Paulo Dybala akan kembali menemui sentuhan selepas kedua-dua pemain itu bergelut dengan masalah prestasi.

Skuad Bianconeri memenangi empat perlawanan dalam lima aksi terakhir semua kejohanan tetapi ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Serie A yang masih belum tewas, Napoli.

Sandro hanya beraksi dua kali dalam saingan liga pada bulan lalu sementara Dybala sekadar menjaringkan satu gol pada September walaupun melalui permulaan musim yang hebat.

Walaupun Allegri menyedari masalah itu, dia tetap optimis mereka mampu kembali ke tahap terbaik, bermula dengan aksi menentang pasukan yang masih belum mencatat sebarang mata, Benevento, hari ini.

"Ketika ini, Alex Sandro tidak beraksi di tahap terbaik tetapi saya sudah berbual dengannya dan perkara ini biasa berlaku.

"Mengenai Dybala, sentuhan golnya sedikit menurun sejak kembali daripada aksi antarabangsa. Kami berharap dapat memberikan fokus terhadap tahap kecergasan dan latihan.

"Selepas aksi menentang Sporting Lisbon pada Rabu lalu, saya memberitahu Dybala bahawa dia beraksi dengan baik, cuma tidak begitu tajam di depan gol lawan. Dia masih muda dan saya yakin dia akan kembali menyinar," kata Allegri.

Juve akan menyambut ulang tahun ke-120 dan akan memakai jersi klasik dalam aksi malam ini, dan Allegri percaya anak-anak buahnya akan menghadiahkan kemenangan.

"Kami harus beraksi dengan sepenuh hati dalam perlawanan ini dan tidak boleh melakukan kesilapan memandangkan ia adalah sambutan ulang tahun ke-120 pasukan.

"Walaupun Benevento masih belum meraih sebarang mata, kami tidak boleh memandang rendah," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen