MAINZ 0 BORUSSIA DORTMUND 2

Pengurus baru Borussia Dortmund, Peter Stoger, berkata matlamatnya adalah untuk mengeluarkan apa yang terbaik daripada pasukannya selepas memulakan tugas dengan kemenangan 2-0 ke atas Mainz dalam Bundesliga di Opel Arena, awal pagi tadi.


Sokratis Papastathopoulos dan Shinji Kagawa masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk membolehkan pengurus dari Austria itu membuat permulaan baik selepas menggantikan Peter Bosz yang dipecat.

Pelawat terselamat dengan beberapa serangan awal, termasuk percubaan Suat Serdar yang terkena palang, untuk melakar kemenangan pertama mereka dalam Bundesliga sejak Oktober.

Ia menunjukkan persembahan baik daripada pasukan dan Stoger, yang turut dipecat Cologne bulan ini, berharap Dortmund adalah platform terbaik untuknya membuat peningkatan.

"Matlamat saya adalah untuk memanfaatkan kualiti pemain terbaik," katanya kepada Sky Sport Jerman.

"Perlawanan sangat sengit. Secara keseluruhan, saya sangat gembira.

"Pada masa rehat kami membincangkan beberapa perkara yang kami mahu betulkan. Babak kedua jauh lebih baik, kami mengawal perlawanan dan mungkin dapat menamatkannya lebih awal," katanya lagi.