"Semuanya untuk anda Koa!" kata pemain tengah negara, Brendan Gan, selepas menunjangi kemenangan 2-1 Harimau Malaya ke atas Thailand dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Pemain berusia 31 tahun itu melakukan pengorbanan besar dalam hidupnya apabila meninggalkan anaknya yang baru berusia dua hari di Australia.

Ia demi tuntutan negara bagi menghadapi perlawanan penting menentang Thailand dan Indonesia dalam pusingan kelayakan itu.

Pengorbanannya ternyata berbaloi apabila meraih jaringan penyamaan dan mencetuskan gol kemenangan buat Malaysia.

"Untuk datang ke sini selepas dua hari melihat anak lelaki saya, benar, ini merupakan hadiah yang sempurna buatnya.

"Pemain-pemain lain memberitahu saya bahawa kami semua mengorbankan segala-galanya untuk berada di sini.

"Sama ada keluarga atau waktu rehat, kami sedia mengorbankan segala-galanya untuk negara.

"Kami berada di sini kerana kami mahu berjuang untuk negara," katanya.

Kehadiran cahaya mata sulungnya, Koa Brooklyn, menjadi inspirasi Brendan untuk menampilkan aksi terbaiknya dalam perlawanan itu.

Pemain yang dikaitkan untuk menyertai Selangor itu turut beberapa kali menyelamatkan situasi berbahaya di depan gawang negara.

"Kami tidak pernah mengaku kalah.

"Itulah kekuatan kami dan itulah perwatakan yang semua pemain bawa setiap kali menjejakkan kaki ke padang latihan dan perlawanan.

"Kami tidak pernah mengalah dan sentiasa berjuang.

"Itulah perwatakan yang dapat dilihat dalam pasukan ini," tambahnya.