Pemain LaLiga dimaklumkan bahawa pemotongan gaji untuk mereka adalah sesuatu yang normal kerana semua orang terkesan dengan wabak coronavirus.

Tatkala saingan bola sepak di Eropah masih tertangguh ekoran COVID-19, perdebatan meluas mengenai persoalan sama ada gaji pemain patut dipotong atau tidak memandangkan tiada sebarang aksi berlangsung dan dalam masa sama ia bertujuan menyelamatkan kewangan kelab serta melindungi pendapatan staf pasukan.

Kelab Serie A telah mencadangkan agar pemotongan gaji tahunan sehingga 1/3 daripada pendapatan tahunan sambil beberapa pasukan dari negara lain sekitar Eripah membuat keputusan sendiri termasuk Atletico Madrid yang mengesahkan pengurangan sehingga 70 peratus.

Tindakan Atletico itu tidak berdasarkan piawaian yang ditetapkan LaLiga tetapi presiden liga Sepanyol, Javier Tebas, berpendapat pengorbanan harus dilakukan dan percaya ia mampu dicapai dalam tempoh beberapa hari lagi.

"Kami dalam situasi atau krisis yang tidak dijangka," katanya.

"Semua orang menanggung kerugian. Bagi saya, normal apabila gaji pemain dikurangkan. Di Sepanyol, kami tidak memiliki perjanjian.

"Pada waktu ini, lapan kelab LaLiga daripada divisyen satu dan dua telah meminta Fail Peraturan Pelantikan Sementara (ERTE) tetapi dalam masa beberapa hari lagi, semua pasukan akan melakukan pemotongan gaji, tidak kira melalui ERTE atau perjanjian individu dengan pemain.

"Bola sepak Sepanyol tidak bergantung kepada mana-mana pihak, jadi kami perlu berdikari sendiri daripada segi ekonomi."

Tebas turut mengesahkan keinginan LaLiga untuk menyambung saingan, jika boleh, dalam minggu terakhir Mei depan, sekali gus bermakna saingan akan dilanjutkan melebihi 30 Jun depan.

Ia mungkin mendatangkan masalah kepada jendela perpindahan akan datang atau beberapa kontrak serta pinjaman pemain yang tamat Jun nanti tetapi Tebas yakin pertimbangan akan dapat dicapai.

"Menjadi satu keperluan untuk mengubah kontrak pemain yang tamat pada 30 Jun depan termasuk beberapa jenis perjanjian," tambahnya.

"Ia tidak mudah tetapi sangat rumit. Saya fikir pemain akan bersetuju setiap liga akan mencapai penyelesaian mengikut peraturan.

"Jelas sekali tarikh jendela perpindahan, dari 1 Julai sehingga 1 September depan, tidak sesuai dan perlu diubah tetapi saya tidak boleh memberi kenyataan terperinci.

"Kami akan melihat cadangan FIFA dan mengubah pasaran mengikut apa yang ditetapkan."