KDM Semporna menebus kekecewaan tewas dalam separuh akhir Liga Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia apabila muncul juara saingan Piala FA KDM di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Pasukan berkenaan bukan saja menang bergaya 4-1, malah lebih manis lagi, mereka menundukkan KDM Sepanggar, iaitu pasukan yang menyingkirkan mereka dalam saingan liga.

KDM Semporna tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila lorongan Leopold Alfonso Otong pada minit ketiga disudahkan dengan baik oleh Shahrizam Sahar untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Pada minit ke-28, Leopold kemudian menjadikan kedudukan 2-0 apabila melakukan percubaan susulan yang baik selepas rembatan bekas kapten PKNS FC, Sharul Azhar Ture, terkena tiang.

Peluang terbaik KDM Sepanggar hadir pada minit ke-37, namun percubaan Afizan Paka berjaya diselamatkan penjaga gol dalam keadaan satu lawan satu.

Bermula babak kedua, KDM Semporna terus garang apabila meledak gol ketiga, juga menerusi Shahrizam, pada minit ke-49.

Jaringan yang dicari-cari KDM Sepanggar akhirnya muncul pada minit ke-60 hasil gerakan satu-dua menarik sebelum disudahkan oleh penyerang, Saddam Yusup.

Bagaimanapun, usaha KDM Sepanggar untuk bangkit bagi terus memburu jaringan dimusnahkan oleh gol keempat KDM Semporna hasil jaringan M Zulfadlisham Roseland pada minit ke-77 dan kedudukan 4-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Pengurus KDM Sepanggar, Roihan Ang, gembira dengan kejuaraan itu dan menyifatkan aksi malam tadi adalah antara yang terbaik dipersembahkan mereka musim ini.

"Kemenangan dan kejuaraan ini juga sekurang-kurangnya berjaya menebus kekecewaan kami tewas dalam separuh akhir saingan liga," katanya.