ENGLAND 2 CROATIA 1

Harry Kane memuji semangat yang dipamerkan England selepas The Three Lions bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Croatia 2-1 dan layak ke saingan akhir Liga Negara-Negara UEFA.


England hadir ke dalam perlawanan di Wembley itu dengan memerlukan kemenangan untuk menempah slot empat pasukan terakhir dalam kejohanan antarabangsa berkenaan atau seri tanpa jaringan bagi mengelak daripada penyingkiran.

England terlebih dahulu ketinggalan selepas Andrej Kramaric membuka jaringan buat Croatia untuk mereka bangkit menerusi jaringan pemain gantian, Jesse Lingard, sebelum Kane menyumbat gol kemenangan pasukan.

Kane gembira di atas kemenangan berkenaan dan memuji semangat yang ditampilkan oleh skuad bimbingan Southgate itu berdepan pasukan yang menewaskan mereka dalam separuh akhir Piala Dunia, Julai lalu.

"Ia merupakan kemenangan yang sangat baik. Kami menunjukkan kebolehan sebenar untuk memastikan kemenangan ke atas Croatia.

"Kami telah memberitahu selepas tamat Piala Dunia, kami mahu terus meningkatkan lagi mutu permainan dan untuk melakukannya adalah dengan menewaskan pasukan utama," tambahnya.

Ketika Kane menjadi perbualan utama, kehadiran Lingard ke dalam perlawanan sangat penting selepas pemain tengah Manchester United itu menjaringkan gol lima minit selepas menggantikan Fabian Delph.

Dia kemudian menafikan jaringan kemenangan Croatia sebelum membenarkan kapten pasukannya itu menyumbat gol kemenangan bagi meletakkan England sebagai juara Kumpulan 4, Liga A pada penghujung permainan.

"Kami kekal yakin dan bersemangat untuk mencipta kemenangan. Ketinggalan 1-0 untuk memenangi perlawanan 2-1 merupakan sesuatu yang sangat menakjubkan."