JUVENTUS 2 GENOA 1

Cristiano Ronaldo gembira di atas cara Juventus mencari kemenangan ketika mengatasi Genoa 2-1 dalam saingan Serie A, awal pagi tadi.


Kedua-dua pasukan mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain dan kelihatan akan berkongsi mata selepas Christian Kouame menafikan jaringan pembukaan Leonardo Bonucci di Turin.

Kouame menggunakan kaki kanan untuk melepaskan rembatan, namun percubaannya itu terbias dan penjaga gol Juve, Gianluigi Buffon, tersalah langkah dan kelihatan skuad kendalian Thiago Motta itu hampir meraih satu mata.

Namun, jaringan Ronaldo pada minit ke-92 telah ditolak selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan dia berada dalam kedudukan ofsaid tetapi masih berjaya muncul wira dengan menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.

"Saya sangat gembira," kata Ronaldo kepada Sky Sport Italia.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar berdepan lawan yang cukup berdisiplin ketika bertahan tetapi kami adalah Juventus, moto pasukan ini adalah berjuang sehingga wisel penamat.

"Kami sangat gembira dengan tiga mata diraih. Kami banyak mencipta peluang dan berhak bergelar pemenang.

"Inter di hadapan kami dalam carta liga merupakan salah satu pendorong kami untuk melakar kemenangan."

Jaringan Ronaldo memastikan Juventus mengambil alih daripada Inter selaku pendahulu Serie A -- skuad kendalian Maurizio Sarri itu kini berkelebihan satu jaringan.

Genoa terpaksa beraksi lebih daripada 40 minit dengan 10 pemain selepas Francesco Cassata diarah keluar padang kerana melakukan terjahan terhadap Paulo Dybala.

Pengadil perlawanan, Antonio Giua, turut mengarahkan pemain gantian Juventus, Adrien Rabiot, keluar padang selepas menerima dua kad kuning.

Rata-rata pasukan lebih memilih untuk bertahan dan meraih satu mata tetapi Juve terus mengasak kubu lawan sebelum melakar kemenangan.