Presiden Kelantan United FC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, memuji sikap tidak berputus asa pemainnya dalam mencari gol biarpun terpaksa menunggu sehingga babak kedua sebelum menewaskan DDM FC 3-0 dalam saingan Liga M3 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Katanya, pasukan pelawat yang turun untuk mencari kemenangan jelas mengancam dan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol dalam aksi separuh masa pertama.

"Alhamdulillah, biarpun ditekan hebat oleh jentera serangan DDM FC, benteng pertahanan dan penjaga gawang kami beraksi cemelang malam ini (tadi).

"Berkat daripada sikap tidak berputus asa, kami menyerap tekanan dan menghasilkan gol pertama melalui jaringan cantik Shamsul Kamal (Mohammad).

"Selepas jaringan itu, jentera serangan semakin tenang dan menjaringkan dua gol lagi untuk memastikan tiga mata menjadi milik Kelantan United," katanya.

Dalam aksi menarik malam tadi, tiga jaringan dalam separuh masa kedua sudah cukup memberi mata penuh kepada skuad kendalian Zahasmi Ismail itu.

Kelantan United mendapat gol pertama melalui rembatan kencang pertahanan, Shamsul Kamal Mohamad, pada minit ke-69.

Enam minit kemudian, penyerang sensasi, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, menggandakan kedudukan tuan rumah apabila menanduk masuk sepakan penjuru Shamsul Kamal untuk menewaskan penjaga gol DDM FC, Wan Ahmad Hababa Wan Sharifuldin.

Kelantan United terus menghukum kelalaian benteng pelawat apabila pemain tengah, Muhamad Shahrul Hakim Rahim, menjaringkan gol ketiga melalui rembatan kencang pada minit ke-82.

Untuk rekod, kemenangan 3-0 ke atas DDM FC itu membolehkan Kelantan United melonjak ke tangga kedua liga dengan 19 mata manakala pasukan lawan kendalian Mohammad Faiz Mohamad Azlan itu jatuh ke tempat ketiga dengan 18 mata.

Kredit Foto: KUFC