Semangat Adib tetap bersama rakan sepasukan

Oleh Staff Writer 15 Januari 2018 3228
Semangat Adib tetap bersama rakan sepasukan
Walaupun belum meraih peluang untuk beraksi, kapten skuad negara, Muhammad Adib Zainudin, enggan berkecil hati, sebaliknya bersikap positif dengan berharap sesiapa yang diturunkan terus mempamerkan aksi cemerlang untuk berdepan Arab Saudi dalam aksi ketiga peringkat kumpulan Kejohanan AFC B-23, esok.

Adib merupakan tonggak pertahanan skuad muda negara sebelum ini selepas mengetuai cabaran
Malaysia dalam saingan Kelayakan AFC B-23 dan Sukan SEA 2017, namun dia kehilangan
tempat kesebelasan utama dalam pusingan akhir yang sedang berlangsung di China.

Dia sekadar memanaskan badan di bangku pemain simpanan dalam dua perlawanan terdahulu
ketika bertemu Iraq dan Jordan selepas Dominic Tan mengisi tempatnya untuk bergandingan
bersama Irfan Zakaria dan Adam Nor Azlin.

"Sebenarnya, saya perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama. Mungkin ini adalah percaturan daripada jurulatih dan saya akan akan mengikut setiap apa yang dirancang untuk pasukan," kata Adib.

Skuad negara akan melengkapkan aksi terakhir Kumpulan C menentang naib juara 2013, Arab
Saudi, di Stadium Kunshan malam esok dan Adib mengharapkan semua pemain dapat
mengulangi aksi terbaik masing-masing, selain optimis terhadap peluang pasukan untuk
meneruskan kemaraan.

"Dalam Kumpulan C, peluang masih terbuka buat semua pasukan untuk layak ke suku akhir.

"Saya berharap Malaysia dapat mencipta sejarah tersendiri," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen