Selangor juara Piala Presiden

Oleh Tengku Danish Bahri 20 Oktober 2017 1393
Selangor juara Piala Presiden
Selangor menafikan kebangkitan Terengganu untuk menang dengan agregat 2-1, sekaligus muncul juara Piala Presiden meskipun tewas 0-1 dalam final kedua di Kuala Terengganu, malam ini.

Rentak agresif ditunjukkan tuan rumah di awal permainan dengan Muhd Aliff Fitri nyaris memberikan gol semangat Terengganu pada minit ketujuh, namun gagal menyambar hantaran dari sebelah kiri.

Hanya dua minit kemudian, skuad kendalian Mustaffa Kamal Abd Wahab itu terus mencemaskan kubu Selangor melalui tandukan Muhammad Rahmat Makasuf yang tinggi melepasi pintu gol lawan.

Dominasi tuan rumah menyaksikan Selangor hanya sesekali melakukan percubaan dan sepakan Mohd Faizuddin Mohd Abidin dari luar kotak penalti tepat ke dakapan Mohamad Shafawi Mohamad (m-17).

Sang Penyu akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-24 menerusi sepakan percuma menarik Mohd Haidhir Suhaini yang menewaskan Muhammad Haziq Ridwan.

Peluang terbaik Terengganu untuk menyamakan kedudukan agregat hadir pada minit ke-33, namun Muhammad Haziq cemerlang menafikan situasi satu lawan satu berdepan Muhd Firas Mohd Tarmizi serta tindakan susulan Haidhir.

Skrip sama diulangi Terengganu pada babak berikutnya dengan melancarkan serangan bertali-arus tetapi buntu menambah jaringan.

Aksi terhenti seketika pada minit ke-61 selepas pengadil, Muhammad Almi Abdullah, mencetuskan kekeliruan dengan layangan kad merah kepada pertahanan Selangor, Muhd Amirul Ashraf Ariffin, yang kemudian ditarik semula.

Usaha tuan rumah memburu gol kedua diteruskan selepas itu, namun percubaan pemain gantian, Wan Mohd Fazli Wan Ghazali, yang sekadar menyepak tinggi bola di dalam kotak penalti lawan terus membuatkan tuan rumah kempunan memburu gol kedua.

Kegagalan menyempurnakan peluang terhidang memaksa Terengganu berputih mata dengan kedudukan satu gol kekal sehingga wisel penamat.

Kredit foto: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT)

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen