Legenda Argentina, Diego Maradona, telah meninggal dunia pada usia 60 tahun, perkhabaran itu telah disahkan oleh Persatuan Bolasepak Argentina.

Bekas pemain serta pengurus skuad kebangsaan Argentina itu mengalami serangan jantung.

Dia telah berjaya menjalani pembedahan terhadap darah beku di otak awal bulan ini dan telah dirawat untuk kebergantungan mengambil minuman beralkohol.

Maradona merupakan kapten ketika Argentina memenangi Piala Dunia 1986, menghasilkan siri persembahan individu yang hebat untuk memimpin pasukannya mencapai kejayaan.

Dalam satu kenyataan menerusi Twitter, AFA menyatakan "kesedihannya yang paling dalam atas kematian legenda kita", serta berkata: "Anda akan selalu ada di hati kami."


Maradona bermain bersama Barcelona dan Napoli, memenangi dua gelaran Serie A bersama kelab Itali itu.

Maradona menjaringkan 34 gol dalam 91 penampilan buat Argentina, beraksi dalam empat edisi Piala Dunia.

Dia membawa negaranya ke final 1990 di Itali, di mana mereka ditewaskan oleh Jerman Barat, sebelum mengetuai mereka sekali lagi di Amerika Syarikat pada 1994, tetapi dihantar pulang setelah gagal dalam ujian dadah untuk efedrin.

Ketika separuh kedua kariernya, Maradona bergelut dengan ketagihan kokain dan digantung selama 15 bulan selepas diuji positif menggunakan bahan terlarang pada 1991.

Dia bersara daripada bola sepak pada 1997, pada hari kelahirannya yang ke-37.

Setelah berjaya menguruskan dua pasukan di Argentina selama kariernya bermain, Maradona dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan pada tahun 2008 dan layak ke Piala Dunia 2010, di mana pasukannya dikalahkan oleh Jerman dalam suku akhir.

Dia kemudian menguruskan pasukan di Emiriah Arab Bersatu dan Mexico dan dilantik mengendalikan Gimnasia y Esgrima dalam saingan di Argentina pada masa kematiannya.