Ketua jurulatih Borussia Dortmund, Lucien Favre, kekal optimis dengan kemampuan pasukannya untuk mara ke pusingan kalah mati walaupun tewas kepada Inter dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Dortmund pulang dengan tangan kosong dari Milan selepas tewas 2-0 kepada Inter dalam aksi Kumpulan F.

Skuad kendalian Favre itu dibolosi jaringan oleh Lautaro Martinez dan Antonio Candreva di San Siro, sekali gus menyaksikan Inter memintas Dortmund di tangga kedua menerusi perbezaan jaringan.

Inter dan Dortmund berkongsi empat mata selepas tiga perlawanan, ketinggalan tiga mata di belakang Barcelona.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Favre berkata, "Kami bermain dengan baik, separuh masa pertama yang cemerlang, namun dibolosi pasukan lawan.

"Selain daripada dibolosi, Dortmund menampilkan permainan yang baik. Kami cuba bermain dengan penuh kesabaran dan mengelak daripada gerakan serangan balas pasukan lawan. Kami memiliki peluang terhidang, namun gagal menyempurnakannya.

"Ia merupakan perancangan kami untuk menampilkan permainan yang agresif. Kami tidak boleh mengharapkan 10 peluang diberikan ketika berdepan lawan seperti Inter. Saingan kumpulan ini sangat sukar tetapi segalanya tidak mustahil."

Dortmund kini di tangga keempat Bundesliga dan hanya ketinggalan satu mata selepas mengatasi pendahulu liga, Borussia Monchengladbach minggu lalu.

Bagaimanapun, Favre – yang menamatkan saingan di tempat kedua bersama Dortmund di belakang Bayern Munich musim lalu -- masih terus dihujani kritikan di Jerman.

"Terdapat beberapa kekurangan dalam pasukan, pemain-pemain kurang berada dalam kotak penalti," kata Pengurus Besar Dortmund, Sebastian Kehl.

"Bagaimanapun, kami tidak seharusnya tewas 2-0 hari ini. Jurulatih mempunyai idea untuk mengubah cara permainan dan ia berhasil, namun kealpaan pemain menyebabkan pasukan dibolosi. Saya tidak berasakan taktikal yang digunakan adalah masalahnya."