Keputusan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa kini terletak di tangan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, selepas Bahrain turut menyatakan kesudian untuk beraksi menentang skuad Harimau Malaya, Mac depan.

Skuad Harimau Malaya memburu aksi persahabatan antarabangsa dengan lawan yang lebih kuat untuk persiapan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ia menyaksikan skuad bimbingan Cheng Hoe itu akan bertemu dua pasukan handalan dalam Kumpulan G, iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, Mac depan.

Menerima tawaran daripada Palestin untuk perlawanan yang dirancang diadakan di Gaza pada 21 Mac, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga sudah mendapat maklum balas daripada Bahrain.

"Bahrain dan Palestin telah mengesahkan ketersediaan untuk berdepan Malaysia dalam aksi persahabatan. Sekarang terletak di tangan Cheng Hoe untuk membuat keputusan berdepan lawan yang mana," kata Stuart.

"Beliau sedang meneliti kemampuan kedua-dua pasukan dan bakal membuat keputusan seawal bulan depan."

Pemilihan lawan yang sesuai dan kuat penting buat skuad negara kerana ia mampu menjadi penanda aras terbaik kepada prestasi pemain, terutama sebelum berdepan UAE.