Maurizio Sarri percaya sedikit ketakutan amat baik buat Juventus selepas pasukan itu tewas 1-3 kepada AS Roma dalam perlawanan terakhir Serie A awal pagi tadi.

Juventus sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi Lyon dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Rekod tanpa tewas dalam 39 perlawanan Juve di laman sendiri sejak April 2018 musnah sebaik Diego Perroti menjaringkan dua gol selepas membantu Nikola Kalinic memadamkan jaringan pembukaan Gonzalo Higuain di Stadium Allianz.

Skuad Bianconeri itu dinobatkan juara Serie A buat kali kesembilan berturut-turut walaupun hanya memenangi dua daripada lapan perlawanan liga terkhir dan ketua jurulatih, Sarri, mengakui mentaliti pasukannya kian merosot sejak menewaskan Lazio pada 20 Julai lalu.

Sarri menyedari Juve akan berdepan tugas sukar menentang Lyon, yang menang 1-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 sebelum Liga Juara-Juara direhatkan berikutan pandemik COVID-19, tetapi berasakan kesukaran mereka sejak akhir-akhir ini akan ditamatkan dengan minda yang fokus.

"Sedikit ketakutan boleh menjadi bagus buat kami. Selepas menewaskan Lazio, kami berasakan bahawa kejohanan ini sudah dimenangi dan mentaliti kami agak merosot," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Kini, kami perlu lebih bagus dalam menghadapi lawan.

"Kami akan bermula dengan ketinggalan 0-1 dan ia akan menjadi keadaan yang amat sukar," katanya.

Jumaat lalu, Lyon bermain dalam aksi kompetitif buat kali pertama sejak Mac lalu memandangkan saingan Ligue 1 ditamatkan lebih awal berikutan pandemik berkenaan.

Ia berakhir dengan kekecewaan apabila Paris Saint-Germain (PSG) memenangi penentuan penalti untuk menjulang trofi edisi terakhir Coupe de la Ligue tetapi Sarri amat kagum dengan cara Lyon memberikan saingan.

"Saya amat terkejut kerana mereka amat baik daripada segi fizikal. Ia tidak kelihatan seperti mereka sudah lama tidak beraksi.

"Kami perlu menjadi amat bagus dalam mengembalikan tenaga kami.

"Fizikal perlu kembali cergas dalam dua atau tiga hari.

"Kami perlu berehat beberapa hari dan dari Isnin ini, kami perlu bijak dalam memulihkan diri," tambahnya.