Pasukan Seberang Takir mempertahankan kejuaraan Kejohanan Bola Sepak Piala EPIC selepas menewaskan Aslan Warriors 4-2 menerusi sepakan penalti dalam perlawanan akhir di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), malam tadi.

Perlawanan berlangsung sengit dengan Seberang Takir mendahului pada minit kedua menerusi percubaan jarak jauh Mohamad Hafizi Harun.

Hanya seminit selepas itu, Muhammad Azhar Jaffri mudah menggelecek penjaga gol lawan dan membuat penyudah untuk menyamakan kedudukan 1-1 buat Aslan Warriors.

Bersambung babak kedua, Aslan Warriors mendahului pada minit ke-62 hasil jaringan Nik Faizol Amin Nik Mohd Nazir yang menanduk masuk sepakan percuma dari sebelah kanan.

Kedudukan sekali lagi berubah empat minit kemudian apabila ketua pasukan Seberang Takir, Ahmad Tarmizi Hashim, menolak masuk bola dari jarak dekat, sekaligus mengheret perlawanan ke sepakan penalti yang dimenangi pasukannya.

Selaku juara edisi kedua ini, Seberang Takir membawa pulang trofi, medal dan wang tunai RM3,500 manakala Aslan Warrios memenangi wang tunai RM2,500 dan medal.

“Sejak kejohanan bermula September lalu, persiapan pasukan cukup rapi dan para pemain berlatih dengan bersungguh-sungguh kerana mahu mengekalkan gelaran juara.

“Walaupun sedar kekuatan pasukan lawan yang turut diakui pasukan-pasukan lain, namun saya tetap menaruh harapan dan kepercayaan dengan pasukan ini dan inilah hasilnya.

“Kejohanan ini memberi peluang kepada pemain-pemain baharu menonjolkan bakat dan kerana itu separuh daripada permain pasukan ini adalah anak-anak muda,” ujar ketua pasukan Seberang Takir, Ahmad Tarmizi, 35, yang turut dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.