Schweinsteiger umum persaraan selepas Fire gagal ke playoff

Oleh Staff Writer 9 Oktober 2019 1776
Schweinsteiger umum persaraan selepas Fire gagal ke playoff
Bastian Schweinsteiger mengumumkan persaraannya daripada bola sepak selepas Chicago Fire gagal ke playoff Liga Utama Amerika Syarikat (MLS).

Pemain berusia 35 tahun itu mengumumkan dalam satu ciapan Twitter bahawa "masanya sudah tiba" untuk menamatkan kariernya pada penghujung musim 2019.

Dalam satu mesej buat peminatnya, dia berkata: "Saya mahu berterima kasih kepada anda semua dan pasukan saya, FC Bayern, Manchester United, Chicago Fire dan skuad kebangsaan Jerman.

"Anda semua telah menjadikan waktu yang luar biasa ini mampu saya capai!

"Dan sudah pasti, saya juga mahu berterima kasih kepada isteri saya, Ana Ivanovic, dan keluarga saya di atas sokongan mereka.

"Mengucapkan selamat tinggal sebagai pemain yang masih aktif membuatkan saya berasa penuh nostalgia, namun saya juga tidak sabar menantikan cabaran baru yang akan datang tidak lama lagi.

"Saya akan tetap setia kepada bola sepak. 

"Terima kasih banyak untuk setiap masa yang kita jalani bersama, saya sentiasa mempunyai ruang buat anda semua di dalam hati saya!" katanya.

Schweinsteiger menyertai Fire pada 2017 selepas meninggalkan United dan menandatangani kontrak lanjutan selama setahun pada Januari lalu.

Bagaimanapun, dia gagal membantu pasukan itu menamatkan musim ini di kedudukan yang lebih baik daripada tangga kelapan Liga Bahagian Timur.

Pemain tengah itu merupakan produk program remaja Bayern Munich dan telah memenangi 18 trofi sepanjang 14 tahun kariernya bersama skuad senior pasukan itu -- termasuk kejuaraan 'treble' dalam musim 2012-13.

Dia kemudian berpindah ke United pada 2015 tetapi bergelut untuk menyerlah dalam musim terakhir Louis van Gaal sebagai pengurus dan dipinggirkan daripada pasukan utama ketika Jose Mourinho mengambil alih.

Bagaimanapun, dia kembali mendapat tempat dalam perancangan Mourinho dan sempat menjaringkan gol terakhirnya ketika membantu United menewaskan Wigan Athletic 4-0 dalam Piala FA pada Januari 2017 sebelum meninggalkan pasukan itu untuk menyertai MLS.

Schweinsteiger turut melakukan 121 penampilan bersama skuad kebangsaan Jerman dan menduduki tangga keempat dalam rekod penampilan terbanyak pasukan itu.

Dia juga menjulang Piala Dunia pada 2014 dan menjadi kapten pasukan itu selama dua tahun selepas persaraan Philipp Lahm.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen