STUTTGART 2 BORUSSIA DORTMUND 1

Andre Schurrle berasakan kegagalan Borussia Dortmund mendominasi permainan dan gagal mengekang serangan balas menjadi punca tewas 2-1 kepada Stuttgart dalam saingan Bundesliga, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Peter Bosz itu mengalami kekalahan ketiga musim ini di Mercedes-Benz Arena, dengan Chadrac Akolo and Josip Brekalo menjaringkan gol buat pasukan tuan rumah bagi menafikan gol Maximilian Philipp manakala Schurrle gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Schurrle, yang tampil dalam aksi liga buat kali pertama menggantikan Pierre-Emerick Aubameyang, yang diketepikan kerana masalah disiplin, percaya pasukan perlu mempamerkan aksi yang lebih baik.

Bekas pemain Chelsea itu menasihatkan rakan sepasukannya untuk mempertingkatkan mutu permainan ketika bertahan untuk menghadapi pasukan lawan mencipta jaringan.

"Kami telah bermain dengan baik, terutama sekali dalam separuh masa pertama. Kami berjaya mengawal permainan tetapi gagal menyempurnakan percubaaan," ujarnya.

Dortmund kehilangan khidmat Sokratis Papastathopoulos pada separuh masa tetapi Schurrle enggan menyalahkan pemain gantian, Dan-Axel Zagadou, yang gagal mengawal gerak Brekalo.

"Jaringan kedua Stuttgart merupakan hasil serangan balas yang sangat efektif," tambahnya.

Dortmund berdepan tugas sukar dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Tottenham dan Real Madrid sementara Schalke dan Bayer Leverkusen menanti mereka.